Monday, October 19

**Sejauh manakah tahap Kesabaran kita?**

Setiap manusia di dunia ini pasti pernah melalui situasi di mana tahap kesabaran kita diuji. Namun, ini hanya ujian daripada tuhan kepada setiap umatnya. Setiap manusia pasti diuji..kita pula perlu mengatur persediaan untuk menempuh ujian tuhan, bencana atau musibah, agar tidak kehilangan punca. Malah, kita perlu mempunyai daya kekuatan, kegigihan dan tidak mudah putus asa. Ini sebenarnya memperlihatkan kemampuan kita bersabar ketika berdepan dengan masalah dan kesukaran hidup dan yakin bahawa setiap ujian pasti ada hikmah disebaliknya.

Nilai keimanan kita pula bergantung sejauh manakah kita sanggup mengharungi pahit getir hidup dengan bersabar. Iman adalah ikatan perhubungan antara kita dengan tuhan. Sebagai manusia seharusnya kita tunduk terhadap apa jua ujian tuhan dengan sabar. Bagaimana pun masih ramai yang kecundang apabila menghadapi ujian tuhan, mudah putus asa, resah dan hilang sabar dengan sedikit kesulitan atau cabaran biarpun ia menjanjikan sesuatu kejayaan.

Kita tidak seharusnya hanya bercakap kosong, tetapi mampu bertindak berbekalkan kesabaran di dada, menangani keadaan yang berkemungkinan memudaratkan serta disusuli dengan kewajipan kepada tuhan dan menyelamatkan diri daripada melakukan perkara yang mungkar. Kesabaran seharusnya menjadi teras yang melatari serta menunjangi hidup kita.

No comments: