Tuesday, July 26

Perbezaan antara lelaki dan perempuan






Lelaki hidup dengan dunia sendiri manakala perempuan juga dengan dunia sendiri. Lelaki lebih ke arah kebebasan namun perempuan pula lebih ke arah kelembutan. Sewaktu awal perkenalan, mungkin masing-masing mampu ‘menipu’ dan menyembunyikan perangai sebenar namun setelah terikat antara satu sama lain, perangai sebenar yang jelik juga akan terbongkar dengan sendirinya. Mungkin, si lelaki dapat memahami si perempuan pada awalnya, namun setelah bertahun-tahun berkenalan, si lelaki mungkin akan berubah menjadi dirinya sendiri. Begitu juga dengan si perempuan. Ada saja yang tidak kena, silap sikit sahaja mesti akan bergaduh berminggu-minggu lamanya. Kenapa semua ini terjadi? Kerana pada awalnya, masing-masing bertindak ‘memalsukan’ diri sendiri semata-mata untuk mendapatkan cinta dan kesannya, pertengkaran berlaku 24/7!


Pada awal perkenalan, semuanya seperti dirancang. Keluar bersama, pakaian apa yang ingin dipakai, semuanya telah dirancang dengan teliti. Anda perlu ingat satu perkara sahaja, TIADA MANUSIA YANG SEMPURNA. Sebenarnya, perkara-perkara seperti ini dapat dielakkan sekiranya wujud sikap bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain. Apa yang kita perlu faham, perempuan dan lelaki memang berbeza. Jadi, tidak mustahil sekiranya wujud salah faham antara satu sama lain. Namun, segalanya dapat dikawal sekiranya si lelaki dan perempuan saling mengamalkan sikap terbuka – ‘open-minded’. Penting bagi sesiapa yang bercinta – anda tidak seharusnya mengharapkan pasangan kekasih anda berubah menjadi orang lain mengikut cita rasa anda sendiri sedangkan dia langsung tidak selesa dengan keadaan tersebut.


Kadang-kadang, pasangan yang sudah berkahwin bertahun-tahun lamanya pun mengakui bahawa masih terdapat rahsia dan misteri yang tidak terungkap antara satu sama lain. Tidak mustahil bagi pasangan kekasih yang baru berkenalan sekiranya mereka juga turut mengalami misteri dan rahsia yang belum terungkap. Maklumlah, hubungan masih setahun jagung. Pening, si lelaki menganggap si perempuan ini menyusahkan manakala si perempuan pula menganggap si lelaki ini sebagai hati batu.


Memang diakui, sehingga sekarang, terdapat segelintir lelaki yang tidak menyukai perangai si perempuan yang kononnya ‘gedik’ sedangkan si perempuan pula beranggapan bahawa itu bukan ‘gedik’ namun lebih ke arah manja. Kaum perempuan sememangnya mampu melihat dengan lebih meluas berbanding kaum lelaki yang hanya melihat sesuatu objek dalam satu masa. Justeru, tidak pelik sekiranya si perempuan mampu meluahkan segala perkara hanya dalam satu masa sahaja berbanding si lelaki yang hanya akan menumpukan perhatian terhadap satu objek lurus ke hadapan sahaja. Tidak hairan sekiranya si lelaki terlihat seorang perempuan seksi di hadapannya, dia hanya akan menumpukan perhatiannya terhadap si seksi itu sahaja tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.


Kaum perempuan juga turut diakui mempunyai pendengaran yang lebih baik berbanding kaum lelaki. Buktinya, perempuan tidak dapat tidur dengan nyenyak sekiranya dia mendengar bunyi-bunyi seperti bunyi kipas yang berpusing sedangkan lelaki mampu tidur sehingga berdengkur. Oleh itu, pertengkaran akan tercetus gara-gara si perempuan mampu mendengar dan menyimpan data dengan baik namun sebaliknya terjadi terhadap si lelaki. Setiap butir perkataan yang dilafazkan oleh lelaki akan disimpan dengan baik dalam ingatan perempuan dan data-data tersebut akan digunakan oleh perempuan sebagai isu untuk mencetuskan pergaduhan.


Lazimnya, lelaki akan memendamkan perasaan tanpa menghebohkannya kepada orang lain. Namun, tindakan itu ternyata tidak disenangi oleh perempuan kerana bagi perempuan, sikap memendam perasaan hanya akan membuatkan jiwa semakin terluka. Jadi, tidak hairan sekiranya si perempuan akan meluahkan segala masalah yang terjadi kepada teman rapat atau orang yang boleh dipercayai. Kerana bagi perempuan, bercakap boleh meringankan beban yang ditanggung. Keadaan ini berbeza dengan lelaki yang lebih suka menyimpan segala masalah dan menyelesaikannya sendiri tanpa bantuan orang lain. Mungkin keadaan ini menyebabkan si lelaki berasa rimas dengan si perempuan dan sebaliknya. Bagi si perempuan, ‘sharing is caring’ merupakan perkara penting sekiranya masalah berlaku. Namun, tidak bagi lelaki kerana lelaki tidak suka orang lain memberi tunjuk ajar untuk menyelesaikan masalah. Keadaan ini menyebabkan si lelaki dan perempuan saling bertelagah kerana berlainan pendapat.


Perempuan tidak dapat melakukan sesuatu perkara dengan baik sekiranya hubungan percintaan tidak berjalan dengan lancar. Manakala bagi lelaki, lelaki tidak akan berasa gembira sekiranya kerjayanya tidak berjalan dengan baik lantas menyebabkan hubungan percintaannya turut menerima padah. Kaum perempuan berasa rimas melihat lelaki sibuk bekerja sehingga mengabaikannya. Namun, bagi lelaki pula, mereka benci melihat perempuan yang tidak mampu memahami kerjaya karier mereka. Malah, lelaki juga tidak suka melihat perempuan yang terlalu bergantung dengan orang lain. Namun, lelaki juga tidak suka perempuan yang terlalu berdikari. Hal ini mungkin akan menyebabkan lelaki tidak diperlukan sekiranya perempuan begitu berdikari. Kaum perempuan menganggap bahawa lelaki jarang dapat memahami perasaan dan jiwa mereka kerana sibuk bekerja.


Lelaki kurang menyenangi sikap perempuan yang gemar bercerita dan berkongsi masalah yang terjadi dengan orang lain. Lelaki menganggap bahawa perempuan tidak dapat menyimpan rahsia hubungan sekiranya berlaku masalah atau pertengkaran. Hal ini lantas menyebabkan lelaki dan perempuan bertengkar. Yang si perempuan beranggapan bahawa mereka perlu meluahkan perasaan dan tidak patut menyimpan perasaan yang terpendam manakala lelaki tidak suka perempuan berkongsi masalah dengan orang lain terutamanya perkara yang melibatkan lelaki. Hal ini terjadi mungkin kerana bagi lelaki, mereka tidak melihat konsep luahan perasaan sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah yang terjadi malah mungkin akan mengeruhkan lagi keadaan.


Kaum perempuan tidak suka sekiranya kekasihnya kerap keluar bersama rakan-rakan. Bagi perempuan, mereka hanya inginkan lelaki berada bersama mereka dan tidak mahu lelaki jauh daripada mereka. Mungkin perempuan menganggap lelaki yang sentiasa berada di sisi sebagai lelaki yang ‘gentle’ dan romantik. Tetapi, lelaki pula sudah terbiasa dengan aktiviti luar bersama rakan-rakan justeru hal ini akan menyebabkan lelaki berasa tertekan kerana tidak dapat melakukan aktiviti luarnya gara-gara bercinta. Keadaan ini juga turut menyebabkan pergaduhan tercetus. Lelaki menyukai perempuan yang tidak akan mempersoalkan apa sahaja yang ingin dilakukannya.


Kita memang sedia maklum bahawa kaum lelaki memang tidak mahir dalam bab menyusun ayat. Mereka hanya akan menyebut perkara yang terlintas di fikiran tanpa memikirkan perasaan si perempuan. Perempuan pula akan menganggap bahawa lelaki tidak pernah menjaga hati dan perasaannya malah lelaki juga tidak pernah mencuba untuk menjadi romantik. Lantas, hal ini menyebabkan perempuan mudah berkecil hati kerana mengharapkan si lelaki memujuk dan menjaga hatinya. Kaum lelaki memang tidak suka bercakap. Mungkin sepanjang perkenalan, lelaki memang gemar bercakap namun lama-kelamaan, sikap gemar bercakap itu akan berkurang. Kaum perempuan yang sememangnya diakui mempunyai naluri kewanitaan akan mula berfikiran negatif terhadap perubahan yang wujud dalam diri si lelaki. Oleh itu, kebanyakan lelaki mengakui bahawa mereka agak sukar untuk menipu perempuan sekiranya bertentang mata kerana perempuan sejak azalinya memang bijak membaca maksud yang tersirat. Kebanyakan lelaki yang ingin menipu perempuan akan menghantar SMS atau berbual melalui telefon bagi mengelakkan perkara sebenar diketahui oleh perempuan.



P/s:Copy & paste