
Setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini dikurniakan dengan sepasang mata untuk melihat, sepasang telinga untuk mendengar, sepasang kaki untuk berjalan, sepasang tangan untuk menulis, dan akal fikiran untuk menentukan baik buruk sesuatu perkara. Tidak kurang juga yang dilahirkan dengan memiliki suatu kelebihan yang bukan semua manusia mampu memilikinya. Ada yang hidup dalam serba kekurangan, ada yang dilahirkan sebagai orang kurang upaya dan sebagainya. Contohnya, kelebihan kita dalam bidang penulisan mahupun dalam bidang-bidang lain. Sebenarnya, apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah mengenai kelebihan yang kita miliki ini.
Namun, kadangkala kita tidak sedar bahawa apa yang kita miliki itu adalah amat berharga. Sehinggakan ada yang menyalahgunakannya untuk kepentingan diri sendiri. Tidak kurang juga dengan orang atasan yang sentiasa mencuba untuk mengambil kesempatan terhadap kejayaan dari orang-orang bawahannya. Kita amat beruntung seandainya kita dikurniakan kelebihan masing-masing. Contohnya, dalam bidang penulisan kebanyakan apa yang kita tulis adalah berdasarkan dari pengalaman kita sendiri. Namun, Kadangkala kita juga memerlukan imaginasi kita untuk mencipta suatu jalan cerita agar lebih memberangsangkan lagi minda para pembaca pada zaman yang serba moden ini. Tahukah anda, jika kita pandai menghidupkan sesuatu watak yang sebenarnya tidak pernah wujud, tidak mustahil untuk kita dapat melihat hasil yang akan memuaskan hati kita. Teringat pula yang saya pernah terlihat kata-kata yang telah menimbulkan pelbagai persoalan di minda saya pada ketika itu. Sehinggakan saya seolah-olah bersoal jawab dengan diri saya sendiri.
"Orang bilang ilham, aku bilang jiwa. Orang bilang inspirasi aku bilang imaginasi. Orang bilang belajar dari pengalaman aku bilang temukan kebenaran sejati. Semua telah di cuba namun seolah-olah sia-sia. Semua telah berusaha namun seolah-olah sungguh sulit melawan dunia. Semua tidak mau mengerti kita. Bahawa prinsipnya, dunia sungguh sulit untuk dikalahkan."
Apa yang ingin saya komen mengenai kata-kata ini adalah..sebagai contoh, 'Semua telah di cuba namun seolah-olah sia-sia'. Soalan pertama yang bermain di fikiran saya pada ketika itu adalah sudah berputus asakah orang ini? Bukankah pada dasarnya, untuk berjaya dalam bidang yang kita ceburi ini kita tidak seharusnya terlalu mudah untuk berputus asa. 'Semua telah berusaha namun seolah-olah sungguh sulit melawan dunia'. Soalan kedua, mengapa kita perlu melawan dunia? seolah-olah kita ingin mengubah takdir yang telah ditetapkan untuk kita. Bukankah takdir kita semua terletak ditangan-NYA. 'Semua tidak mau mengerti kita'. Soalan ketiga, bagaimana hendak dimengertikan jika kita sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang kita inginkan di dunia ini. Kita seharusnya perlu membuat kajian terlebih dahulu dengan teliti, tidak perlulah kita bertanya apakah sebenarnya yang kita harapkan dari dunia ini. Tetapi tanyalah pada diri kita, apakah yang telah kita lakukan untuk dunia. 'Dunia sungguh sulit untuk dikalahkan'. Soalan yang keempat, tidak perlulah kita berusaha untuk melawan dunia itu adalah sama seolah kita melawan takdir yang telah ditetapkan untuk kita. Terimalah seadanya dengan tangan yang terbuka. Nescaya kita akan sentiasa diberkati-NYA.
Oleh itu, pada pendapat saya untuk menjadi seorang penulis yang berjaya atau dalam apa jua bidang yang diceburi tidak perlulah kita memiliki pelajaran tinggi. Cukuplah sekadar minat kita yang mendalam dalam bidang itu. Jika kita rajin membaca dan membuat kajian mengenai kesahihan sesuatu perkara samada ianya adalah imaginasi mahupun dari inspirasi kita, sudah tentu kita mampu untuk menghasilkan artikel-artikel mahupun idea-idea yang baik lagi bermutu untuk dikongsikan kepada para pembaca semua. Akhir sekali dari saya, 'Belajarlah berdiri di atas kaki sendiri'.
Imelda Vanessa Patrick
(Kota Kinabalu)
22 Disember 2010