Tuesday, January 5

**Nostalgia lampu Pelita sakura**

Jasamu yang tidak terhingga tak akan luput dalam ingatanku
Malamku hanya bertemankan Kilauan cahayamu yang menerangi kamar alam
Yang menemaniku kala aku membuat kerja-kerja sekolahku
Hinggakan mampu membawaku kearah kejayaan hidup
Padahal kau hanyalah sebuah lampu pelita yang telah usang


Sinar kilauan cahayamu memancarkan sinaran sepenuh rela
Betapa dalam kegelapan maya engkau masih sudi menemaniku
Sanggup membakar diri demi menerangi malamku yang kelam
Kujelajahi malam tanpa bimbang bersama sisa-sisa cahayamu
Moga esok kau masih setia bersamaku seperti hari-hari kelmarin


Di setiap sudut kamar cahayamu menerangi kepekatan malam
Asap yang kadangkala membuatkan hidungku berubah warna kehitaman
Namun kerna jasamu yang telah banyak mencurahkan bakti kepadaku
Sehingga kini kau masih tetap menjadi teman tidurku
Walau kadangkala asap jahat yang kau curahkan membuatkan pagiku gelisah


Dahulunya kehadiranmu bagaikan suatu anugerah
Lama kelamaan engkau ditinggalkan selepas wujudnya kemodenan dunia
Rasanya kini jasamu semakin dilupakan manusia rakus
Mengakhiri sisa-sisa hidupmu tanpa sinar cahaya terangmu lagi
Kenangan itu akan sentiasa mekar dihatiku untuk selamanya