Friday, December 24

Ragam manusia




Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk turun ke bandar. Maklumlah hujung minggu begini pasti ramai anak muda yang keluar lepak menghabiskan waktu bersama teman-teman mereka. Ada yang keluar bersiar-siar bersama keluarga dan anak-anak, ada pula yang terpaksa berkerja pada hujung-hujung minggu begini. Sewaktu saya dalam perjalanan menuju ke Orchard plaza salah satu pusat membeli belah yang terkenal di singapura, tiba-tiba saya terpandang sepasang kekasih yang berdiri di satu sudut tepi MRT yang sedang menuju ke bandar. Dengan gelak ketawa yang kuat mereka seakan hanyut dalam dunia sendiri tanpa memperdulikan pandangan sinis segelintir penumpang di sekeliling mereka. Ada beberapa penumpang yang seakan tidak memperdulikan karenah mereka. Agaknya mereka sudah biasa melihat keadaan seperti ini. Tangan si lelaki pula menjalar ke sana sini tak pernah duduk diam, sekejap mengusap-usap belakang si gadis..sekejap menjalar ke punggung si gadis. Aduh!dalam hati saya menyampah dengan kelakuan si lelaki ni...maklumlah kata orang negara yang moden mereka boleh berbuat sesuka hati sama seperti di negara-negara barat yang lain. Saya segera melarikan pandangan ke tempat lain, saya sudah tidak tahan melihat kelakuan mereka lagi. Rasa meluat pun ada..menyampah pun ada..nak muntah pun ada. Cuba bayangkan kalau ibubapa si gadis tu ada bersama, rasanya apa yang berlaku kepada Si lelaki tu?

Tidak jauh dari tempat saya bersandar pula kelihatan seorang perempuan tua yang berbangsa cina berpaut pada tepi tiang tempat duduk. Hujung minggu begini keadaan sesak sedikit sehinggakan ada yang terpaksa berdiri termasuk saya juga. Tapi saya orang muda tak kisahlah..yang saya kasihankan orang-orang tua yang juga turut menggunakan kemudahan awam seperti bas dan MRT. Sebenarnya tempat duduk khas untuk mereka-mereka yang lebih memerlukannya seperti orang mengandung, kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas telah disediakan. Namun, ada sesetengah golongan muda yang tidak bertanggungjawab. Mereka seakan tidak mengambil peduli akan keadaan seperti ini. Kadang-kadang ada yang kelihatan berpura-pura tidur..ada yang buat-buat tak nampak. Bayangkan sekiranya ibubapa mereka yang sudah lanjut usia atau isteri mereka yang tengah sarat mengandung diperlakukan sebegini. Apakah tindakan mereka?

Seharusnya kita sedar, nilai-nilai moral yang tinggi harus ada pada diri kita mahupun kehidupan seharian kita barulah hidup kita akan sentiasa aman dan damai. Sikap bertimbang rasa, hormat menghormati, bertanggungjawab dan sebagainya adalah penting bagi menjamin kehidupan yang lebih bahagia di masa hadapan. Biarlah apa kata orang lain mengenai diri kita asalkan kita tahu apa yang kita lakukan itu tidak menyinggung perasaan orang lain. Perlu kita ingat juga, suatu masa nanti kita juga akan menjadi tua sama seperti mereka.


P/s: Testing2....entah ape2 je yg aku buat ni..buat karangan ekk??


Imelda Vanessa Patrick
(Kota Kinabalu)

24 DISEMBER 2010

Wednesday, December 22

Kelebihan dalam diri kita




Setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini dikurniakan dengan sepasang mata untuk melihat, sepasang telinga untuk mendengar, sepasang kaki untuk berjalan, sepasang tangan untuk menulis, dan akal fikiran untuk menentukan baik buruk sesuatu perkara. Tidak kurang juga yang dilahirkan dengan memiliki suatu kelebihan yang bukan semua manusia mampu memilikinya. Ada yang hidup dalam serba kekurangan, ada yang dilahirkan sebagai orang kurang upaya dan sebagainya. Contohnya, kelebihan kita dalam bidang penulisan mahupun dalam bidang-bidang lain. Sebenarnya, apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah mengenai kelebihan yang kita miliki ini.

Namun, kadangkala kita tidak sedar bahawa apa yang kita miliki itu adalah amat berharga. Sehinggakan ada yang menyalahgunakannya untuk kepentingan diri sendiri. Tidak kurang juga dengan orang atasan yang sentiasa mencuba untuk mengambil kesempatan terhadap kejayaan dari orang-orang bawahannya. Kita amat beruntung seandainya kita dikurniakan kelebihan masing-masing. Contohnya, dalam bidang penulisan kebanyakan apa yang kita tulis adalah berdasarkan dari pengalaman kita sendiri. Namun, Kadangkala kita juga memerlukan imaginasi kita untuk mencipta suatu jalan cerita agar lebih memberangsangkan lagi minda para pembaca pada zaman yang serba moden ini. Tahukah anda, jika kita pandai menghidupkan sesuatu watak yang sebenarnya tidak pernah wujud, tidak mustahil untuk kita dapat melihat hasil yang akan memuaskan hati kita. Teringat pula yang saya pernah terlihat kata-kata yang telah menimbulkan pelbagai persoalan di minda saya pada ketika itu. Sehinggakan saya seolah-olah bersoal jawab dengan diri saya sendiri.


"Orang bilang ilham, aku bilang jiwa. Orang bilang inspirasi aku bilang imaginasi. Orang bilang belajar dari pengalaman aku bilang temukan kebenaran sejati. Semua telah di cuba namun seolah-olah sia-sia. Semua telah berusaha namun seolah-olah sungguh sulit melawan dunia. Semua tidak mau mengerti kita. Bahawa prinsipnya, dunia sungguh sulit untuk dikalahkan."


Apa yang ingin saya komen mengenai kata-kata ini adalah..sebagai contoh, 'Semua telah di cuba namun seolah-olah sia-sia'. Soalan pertama yang bermain di fikiran saya pada ketika itu adalah sudah berputus asakah orang ini? Bukankah pada dasarnya, untuk berjaya dalam bidang yang kita ceburi ini kita tidak seharusnya terlalu mudah untuk berputus asa. 'Semua telah berusaha namun seolah-olah sungguh sulit melawan dunia'. Soalan kedua, mengapa kita perlu melawan dunia? seolah-olah kita ingin mengubah takdir yang telah ditetapkan untuk kita. Bukankah takdir kita semua terletak ditangan-NYA. 'Semua tidak mau mengerti kita'. Soalan ketiga, bagaimana hendak dimengertikan jika kita sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang kita inginkan di dunia ini. Kita seharusnya perlu membuat kajian terlebih dahulu dengan teliti, tidak perlulah kita bertanya apakah sebenarnya yang kita harapkan dari dunia ini. Tetapi tanyalah pada diri kita, apakah yang telah kita lakukan untuk dunia. 'Dunia sungguh sulit untuk dikalahkan'. Soalan yang keempat, tidak perlulah kita berusaha untuk melawan dunia itu adalah sama seolah kita melawan takdir yang telah ditetapkan untuk kita. Terimalah seadanya dengan tangan yang terbuka. Nescaya kita akan sentiasa diberkati-NYA.



Oleh itu, pada pendapat saya untuk menjadi seorang penulis yang berjaya atau dalam apa jua bidang yang diceburi tidak perlulah kita memiliki pelajaran tinggi. Cukuplah sekadar minat kita yang mendalam dalam bidang itu. Jika kita rajin membaca dan membuat kajian mengenai kesahihan sesuatu perkara samada ianya adalah imaginasi mahupun dari inspirasi kita, sudah tentu kita mampu untuk menghasilkan artikel-artikel mahupun idea-idea yang baik lagi bermutu untuk dikongsikan kepada para pembaca semua. Akhir sekali dari saya, 'Belajarlah berdiri di atas kaki sendiri'.


Imelda Vanessa Patrick
(Kota Kinabalu)

22 Disember 2010

Saturday, December 4

Sebait puisi alunan suaraku





Di sini ku menjiwai puisi alam
bermula dari ku kecil sehinggalah dewasa
bermula dari ku belajar meniarap..
merangkak dan kemudian berjalan
betapa suasana itu sungguh indah sekali


Di sini ku berlabuh seketika
bermula dari terbitnya matahari di ufuk barat
sehinggalah terbenamnya matahari di ufuk timur
bermula dari saat kedengaran kicauan burung berterbangan bebas
sehinggalah saat tibanya mereka kembali pulang ke sarang


Namun..di hadapan ku kini..
segalanya bagaikan terlalu asing bagiku
hanya ada aku dan kerusi roda ku
tiada lagi kedengaran kicauan burung di awan biru
tiada lagi sang mentari dengan kilauan cahaya teriknya


Aku hanya bisa pasrah akan takdirNya
dan memohon kepadaNya..
agar dihatiku tidak pernah terlintas akan erti berputus asa
moga saja suatu hari nanti cahaya itu kembali bersinar
dan aku masih bisa merasai saat-saat indah itu



Imelda Vanessa Patrick
(Kota Kinabalu)

04 November 2010